Monday, February 28, 2011

Jadilah umat yang terbaik

Assalamualaikum w.b.t.

Petang tadi saya sempat bersembang dengan Dr. Kazi mengenai banyak perkara. Mulanya sekadar nak tanya masalah perubatan pada beliau. Namun ia berlarutan kepada perbincangan mengenai hal-hal agama. Dan sembang petang tadi bukannya sekadar sembang kosong tapi lebih kepada pengisian rohani daripadanya kepada saya.

Kata beliau, kita semua bertanggungjawab untuk menyampaikan risalah agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Kita semua merupakan da'ie (pendakwah) tak kiralah di bidang mana kita berada. Semasa Baginda hidup, Baginda yang menyampaikan ajaran Islam kepada manusia. Namun selepas wafatnya Rasul, kita sebagai umatnya harus sedar akan tanggungjawab kita pula untuk menjadi penyampai ajaran Islam selaku khalifah di muka bumi ini sesuai dengan sabda Nabi yang bermaksud :

''Sampaikan dariku walaupun satu ayat.''

Dalam Al-Quran pun Allah ada berfirman, dalam Surah Ali 'Imran ayat 110 yang antara lain bermaksud,

''Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah.''

Saya kira ayat di atas pernah kita belajar semasa sekolah menengah, dan kalau dihafaz lagilah bagus. Allah sendiri sudah memperakui kita sebagai umat yang terbaik, umat contoh. Persoalannya, adakah umat Islam hari ini menepati ciri-ciri sebagai umat terbaik ? Saya serahkan kepada diri masing-masing untuk menjawabnya.

Untuk menjadi umat yang terbaik, perlu menjadi individu yang baik dahulu. Kita buat satu kebaikan, Tuhan akan balas pahala 10 kebaikan. Kita buat benda baik, lalu kita ajak masyarakat melakukan kebaikan juga. Kalau kita seru rakan-rakan solat berjemaah contohnya, kita pun kenalah berjemaah. Harapannya, macam mana manisnya iman yang kita dapat, kita nak orang lain pun rasa benda yang sama. Barulah seronok.

Adakah kita tahu apa pekerjaan Saidina Abu Bakar dan Saidina 'Umar ? Bagaimana mereka menyara hidup mereka ?

Para sahabat Nabi terkenal melalui usaha dakwah mereka, bukannya melalui pekerjaan yang hebat. Prioriti mereka, bagaimana mengajak manusia untuk mengenali Sang Pencipta. Pekerjaan itu hanyalah sebagai satu medium untuk menyampaikan risalah kebenaran kepada masyarakat.

Cuba tanya diri kita sendiri, apa yang telah kita sumbangkan dalam agama ini. Berapa banyak masa yang sudah kita habiskan untuk mendalami ilmu agama.

Adakah kita sedermawan Saidina 'Usman bin 'Affan yang mendermakan semua hartanya demi Islam ?

Atau setekun Ibnu Sina dan Imam Syafi'e dalam menuntut ilmu ?

Sungguh, siapalah kita kalau nak dibandingkan dengan tokoh-tokoh hebat di atas. Kita harus sedar, untuk jadi umat yang hebat, perlukan usaha yang hebat juga. Kita perlu fikir cara untuk menyumbang demi kepentingan agama. Tak banyak pun tak apa, asalkan sedikit tapi konsisten. Sekurang-kurangnya, apabila kita disoal oleh Rabbul 'Alamin di akhirat kelak, kita punya jawapan untuk diberikan, bukannya alasan.

Akhir kalam, sama-samalah kita berusaha menjadi pengikut dan pada masa yang sama penyampai dan pengamal. Kita mahu semua orang di sekeliling kita turut bersama melakukan kebaikan. Apabila ini dapat direalisasikan, tak mustahil kita mampu mencapai Ustaziyatul 'Alam di mana dunia dalam keadaan yang sejahtera dan penuh dengan kasih sayang Rabb...

P/s : Dr. Kazi merupakan seorang 'oncologist', iaitu pakar dalam bidang kanser dan rawatannya.

No comments:

Post a Comment

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...