Wednesday, May 25, 2011

Ashab-e-Kahf 2


Kisah Ashabul Kahfi yang masyhur itu telah mengajar kita betapa pentingnya akidah dalam kehidupan beragama. Kalau akidahnya sudah mantap datanglah ujian macam mana pun dia boleh hadapi dengan baik. Sebab itulah langkah pertama Rasulullah berdakwah adalah dengan cara menanamkan akidah dalam diri para sahabat supaya agama yang dianuti itu ada asasnya. Bukan hanya diikut membuta tuli sahaja tetapi disebabkan keimanan yang wujud dalam diri.

Kali ini saya ingin berkongsi satu lagi ayat Al-Quran dalam Surah Al-Kahfi yang bagi saya menarik disebabkan keangkeran yang tersirat. Selain ayat-ayat berkenaan neraka yang diharapkan mampu memberi peringatan akan balasan dari Allah, banyak lagi ayat yang mempunyai maksud yang serupa yang berupa amaran keras dari-Nya untuk sama-sama kita fahami dengan hati.

Firman-Nya dalam ayat 18 :

"Dan engkau menyangka mereka sedar padahal mereka tidur dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka."

Kalau berminat tengok cerita, ada satu filem berkenaan Ashabul Kahfi ini, tajuknya Ashab-e-Kahf versi Arab rasanya tetapi sudah dialih bahasa ke dalam bahasa Urdu. Sambil tengok boleh la belajar bahasa lain juga. Bahasa Urdu punya lenggok bahasa yang menarik kalau dengar dengan teliti. =)

Ada satu babak, di mana Maharaja Dikyanus telah pun menjumpai tempat persembunyian 7 sahabat dalam gua tersebut. Maharaja menyuruh tenteranya masuk ke dalam gua untuk memberkas sahabat bertujuh namun usaha mereka ibarat mencurah air garam ke dalam Laut Mati di Jordan. Semuanya gagal. Lalu sang raja yang ego pun cuba masuk ke dalam gua tersebut setelah tenteranya gagal.

Berada dalam gua, barulah raja tahu kail yang digunakannya hanyalah seinci. Timbul perasaan takut dan gerun apabila melihat kumpulan pemuda yang sedang sujud di dalamnya. Bukannya ada gergasi atau jin yang menghalang. Sebaik melihat jasad yang kelihatannya sedang tidur, raja berasa terpukul sehingga ke lapisan bumi yang paling bawah. Perasaan takut yang wujud menghantui dirinya sehingga tiada daya untuk bertindak. Raja terkesima dan terus melarikan diri disebabkan kegerunannya pada Ashabul Kahfi itu. Kenapa raja dan tenteranya tewas begitu saja ? Hanya Allah saja yang tahu kerana Dia yang berkuasa membolak-balikkan hati hamba-hamba-Nya.

Kalaulah kita sendiri yang berada di dalam gua dan melihat sendiri 7 sahabat yang sedang tidur, boleh jadi kita pun akan merasakan kegerunan yang sama. Mungkin juga. Disebabkan kuasa Allah itu sangatlah hebat, manusia yang lemah ini tak mampu untuk bersaing. Tiada siapa pun yang setara dengan-Nya.

Mungkin itulah sebabnya Nabi Musa A.S. pengsan ketika Allah S.W.T. cuba menunjukkan zat-Nya kepada baginda di sebuah gunung.

Dan sebab itu jugalah sebuah gunung yang kukuh itu boleh berpecah dan hancur andai Al-Quran diturunkan kepadanya, disebabkan perasaan takut kepada Allah. Bagaimana beratnya kalamullah yang satu ini sehingga gunung pun boleh hancur. Kalau hati manusia tidak mampu lembut dengan ayat-ayat Allah, ternyata dia lebih keras dari gunung tersebut agaknya.


Sekeras-keras Gunung Everest, lagi keras hati aku !

Surah Al-Kahfi merupakan salah satu surah yang terdapat di dalamnya banyak kisah yang menarik untuk dihayati dan dihadam sebaik mungkin. Mungkin melalui penceritaan, kita akan lebih mudah menghayati surah tersebut di samping memudahkan kita menghafaznya. Bak kata seorang ustaz, kisah-kisah yang terdapat di dalam Al-Quran semuanya kisah benar belaka. Kisah benar dalam TV itu pun belum tentu dapat dibuktikan kesahihannya.

Jadi, marilah kita merajinkan diri untuk bertilawah Al-Quran dan mentadabbur ayat-ayatnya serta fahami dengan hati dan bukannya dengan akal semata.

No comments:

Post a Comment

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...