Perubatan tradisional atau berubat kampung merupakan salah satu ikhtiar untuk menyembuhkan penyakit selain perubatan moden. Sesetengah orang lebih suka berubat secara tradisional tanpa menggunakan ubat-ubatan (baca : dadah) yang berlambakan di pasaran ibarat cendawan tumbuh selepas hujan gayanya. Mereka berpendapat penggunaan ubatan tersebut boleh mendatangkan kesan sampingan pada tubuh badan. Jadi ramai yang lebih suka mengamalkan pengambilan herba-herba bersifat semulajadi yang dikatakan tidak berbahaya dan tiada kesan sampingan.
Bidang perubatan nampaknya semakin berkembang, dengan kewujudan pusat perubatan menggunakan ayat-ayat Al-Quran sebagai kaedah rawatan. Selain pusat rawatan Darus Syifa' yang dipelopori oleh Dato' Dr. Harun Din, orang ramai turut berpeluang mendapatkan rawatan alternatif tersebut di Syifa Al-Hidayah di mana Asyraf Muslim merupakan salah seorang pengamal perubatan Islam di situ.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa tidak semua kaedah perubatan itu bergantung kepada pengambilan ubat dan pembedahan semata-mata. Kaedah rawatan menggunakan Al-Quran sudah pun diamalkan oleh baginda Rasul sejak dahulu lagi. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya kita menjaga hubungan dengan Allah selaku Penyembuh yang sebenarnya. Boleh jadi setiap penyakit yang berlaku itu disebabkan oleh masalah hati yang sentiasa dicemari dengan sifat-sifat mazmumah sehingga dizahirkan oleh tubuh badan yang lemah.
Menyentuh mengenai kaedah perubatan yang pelbagai, kita harus pandai membuat pilihan. Jadilah pengguna bijak. Kita juga boleh mencontohi kaedah perubatan yang telah diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. yang ternyata mengandungi hikmah dengan izin Allah. Siapa lagi yang patut kita contohi selain tokoh yang hebat ini.
InsyaAllah, saya akan berkongsi dengan anda kaedah perubatan yang Nabi gunakan untuk mengubati penyakit yang dihadapi. Apakah petua atau rahsia yang baginda amalkan dan hikmah yang terkandung melalui kaedah tersebut. Kita sedia maklum, baginda Rasul bukan sahaja seorang ahli politik yang hebat bahkan juga ahli dalam bidang perubatan. Sedangkan dalam hal makanan pun baginda ada berpesan supaya berhenti sebelum kenyang yang merupakan antara tips untuk kekal sihat.
Kalau nak tahu lebih lanjut, kenalah tunggu. Semoga kita dapat berkongsi ilmu dan mengamalkan apa yang baginda tinggalkan sebagai khazanah yang berharga buat kita umat akhir zaman...(",)
No comments:
Post a Comment