Tuesday, August 9, 2011

Pemimpin Berjiwa Seni 1



Salam w.b.t.

Di sebuah bilik gerakan bawah tanah sebuah istana :

"Tuanku, musuh nampaknya sudah memulakan langkah mereka. Beberapa orang kita sudah pun mereka temui secara sembunyi-sembunyi tanpa pengetahuan kita. Mereka cuba membasuh pemikiran orang-orang kita dengan segala propaganda dan dakyah yang bertujuan memburuk-burukkan tuanku di mata rakyat." lapor pegawai kanan 1, Laksamana Ho Chi Ming.

"Jadi apa yang perlu kita lakukan sekarang tuanku ? Takkan kita hendak berdiam diri sahaja." kata pegawai kanan 2, Laksamana Fong Tai Chi sambil mengetap giginya yang tersusun cantik itu.

Maharaja kelihatan memikirkan sesuatu sambil mengusap-usap janggutnya yang berjuraian dan berkilat itu.

Dengan raut muka yang sedikit pun tiada rasa bimbang, baginda mula bertitah,

"Bawa bertenang wahai pembesar sekalian. Kalian usah bertindak terburu-buru kerana sifat terburu-buru itu langsung tidak membawa keuntungan apa pun. Ia hanya menampakkan sifat amarahmu, menonjolkan kelemahanmu sehingga musuh begitu mudah menyerang dan menewaskan kalian."

Para pembesar mula menumpukan perhatian. Suasana senyap seketika.

"Ingatlah, setiap apa yang kita hendak lakukan perlu adanya perancangan yang teratur. Perlu tersusun setiap gerak langkah kita. Perlu ada rancangan yang teliti supaya usaha kita membuahkan hasil dan memberikan kejayaan yang kita mahukan. Jangan bertindak mengikut hawa nafsu namun buatlah perancangan yang teliti dengan pertimbangan yang rasional."

"Maksud tuanku ? Kita biarkan dahulu mereka bertindak sesuka hati. Begitu ?" tanya Yap Jin Seng, merangkap ketua hulubalang diraja.

"Begini." sambung maharaja. "Membiarkan mereka bertindak dahulu merupakan salah satu perancangan awal beta. Itu tanda mereka berasakan kedudukan mereka hampir tergugat. Maka untuk mengelakkan kekalahan yang teruk, mereka fikir dengan cara itu mereka berhasil melemahkan kesatuan kita. Melemahkan nilai moral kita. Sedangkan usaha mereka itu menggambarkan ketakutan mereka yang sebenarnya."

"Segala pergerakan kita perlu dilakukan secara halus dan penuh muslihat. Kita buatlah seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Tidak perlu gelabah." kata maharaja setenang air di laut.

"Apabila tiba masanya, barulah kita lancarkan serangan. Jika kita boleh menyerang, kita hendaklah kelihatan seolah-olah kita tidak berupaya menyerang. Apabila menggunakan sepenuh tenaga kita, lakukan seperti kita pasif di mata mereka. Jika kita berdekatan, buatkan mereka percaya kita berada jauh dari mereka dan apabila kita berjauhan, bertindaklah seolah-olah kita dekat dengan mereka."

Sebahagian hadirin yang ada kelihatan mengangguk-anggukkan kepala. Tidak kurang juga yang mencatat nota ringkas sebagai rujukan pada masa hadapan. Begitu tekun sekali gayanya.

Sambungnya lagi, "Letakkan umpan untuk menarik perhatian mereka. Berpura-pura kita punya kelemahan supaya mereka berasa yakin dapat mengalahkan kita. Jika mereka bersenang-senang, jangan bagi mereka berehat langsung. Jika mereka bersatu, kucar-kacirkan kesatuan mereka. Serang mereka di mana-mana penjuru yang lemah, muncul di tempat yang tidak mereka jangkakan. Apabila punya peluang, hancurkan mereka sehabis-habisnya."

"Patik bersetuju dengan apa yang tuanku katakan itu." Laksamana Fong Tai Chi mula bersuara. Beliau kelihatan kembali tenang. "Kita rancang sebaik-baiknya apa yang hendak dilakukan terlebih dahulu. Kemudian baru kita gempur. Cermat dan teratur dalam bertempur. Pasti musuh akan menggelupur." tambahnya seraya menggenggam penumbuk tangan ke udara. Sungguh puitis kata yang dilontarkan.

Semuanya tersenyum penuh bersemangat. Selepas ini mereka akan melakukan perancangan yang rapi kerana itulah satu-satunya kunci kejayaan yang hakiki.

Kecil-kecil sudah mengaji. (sumber)


6 comments:

  1. faiezz > Sebelum nak buat apa-apa, kena la ada perancangannya. Allah tidak suka hamba-hambaNya terburu-buru dalam melaksanakan sesuatu.

    “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

    Hasil akhirnya Allah yang tentukan. Insan hanya mampu berusaha dan tawakkal...

    ReplyDelete
  2. kebatilan yang terancang akan mengalahkan kebenaran yang dibuat tanpa perancangan...

    *usaha tidak menjamin kejayaan*
    so kre xleh gne r "usaha tangga kejayan"..btol x?

    ReplyDelete
  3. mesti kena ada usaha jgk..
    tapi usaha yang terancang la..baru boleh berjaya..

    ReplyDelete
  4. hmm...yg terancang.....dlm mksdnya...

    ReplyDelete

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...