Salam w.b.t.
Pendidikan merupakan salah satu bidang yang sangat penting kepada sesebuah negara. Kemajuan sesebuah negara itu bukanlah terbatas kepada soal pembangunan fizikal semata-mata sebaliknya pembinaan insan yang berjiwa kental dan berpengetahuan luas juga harus dititikberatkan.
Apalah gunanya segala kemudahan yang ada andai manusia tidak memanfaatkan kemudahan itu sebaik mungkin. Segala kemudahan itu akan dihargai dan berkekalan sekiranya manusia yakni kita berilmu dan mempraktikkan ilmu yang kita pelajari sepanjang hidup ini.
Dalam Al-Quran sendiri Allah ada mengungkapkan suatu pernyataan mengenai mereka yang berilmu. Dia menyoal :
"Adakah sama antara mereka yang mengetahui dan mereka yang tidak mengetahui?"
Sungguh, wujud jurang yang besar dan nyata antara dua kumpulan manusia itu. Kita tergolong dalam golongan yang mana?
Guru, Secekal Hatimu
Insan yang mendidik dan memberi pengajaran kepada kita, itulah guru..cikgu..ustaz..ustazah..mu'allim..teacher..lao she..lehrer..sir..dan sebagainya yang banyak berjasa kepada kita sedari kita menuntut di tadika lagi..
Tanpa mereka, tidak mungkin kita kenal A, B, C, 1, 2, 3. Tanpa ketabahan dan kesabaran mereka, tidak mungkin kita berjaya menulis esei di blog-blog yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Tanpa kegarangan mereka, tidak mungkin juga kita boleh mengingat segala past tense, present tense mahupun future tense beserta tense-ionnya perasaan ketika mengulang kaji pelajaran menjelang peperiksaan.
Berkat doa mereka dan ibu ayah, kita dapat melalui saat-saat genting seorang pelajar dengan baik dan tenang. Boleh kata, guru seolah-olah ibu ayah kedua bagi kita.
Hendak Seribu Daya
Rasa kagum dan tersentuh ketika membaca sebuah buku bertajuk 3 Cups of Tea hasil karya Greg Mortenson dan David Oliver Relin. Ia menceritakan liku-liku perjuangan seorang pendaki gunung iaitu Dr. Greg Mortenson dalam usahanya memperjuangkan pendidikan kepada golongan perempuan di Pakistan dan Afghanistan dan mengurangkan jurang kemiskinan yang menjadi masalah utama penduduknya.
Dalam usahanya yang murni itu, Dr. Greg berdepan dengan pelbagai cabaran yang hampir melemahkan semangatnya untuk berbakti kepada penduduk di kawasan pergunungan Himalaya tersebut. Namun berkat ketabahan dan kecekalannya, satu demi satu sekolah yang dirancang berjaya dibina dan dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf pendidikan dan kehidupan masyarakat di situ.
Melalui pendidikan, kehidupan masyarakat menunjukkan peningkatan yang lebih baik berbanding sebelumnya. Sungguh kagum diri ini melihatkan usaha yang dilakukan oleh Dr. Greg terhadap masyarakat yang berlainan agama dan bangsa darinya. Semoga suatu hari nanti, beliau diberikan hidayah oleh Allah kepada Islam kerana usahanya itu telah membuka jalan kepada orang lain untuk terus menuntut ilmu sesuai dengan ayat pertama dari Surah Al-'Alaq yang menyeru manusia supaya "Membaca".
Tradisi Ilmu Melalui Pembacaan
Kegiatan membaca rakyat di negara kita masih rendah berbading negara-negara lain. Tidak dinafikan ada saja golongan ulat buku, tetapi jumlahnya masih kecil dari golongan remaja sendiri. Baru-baru ini, Pesta Buku Antarabangsa telah berlangsung di PWTC. Diharapkan minat membaca dapat dicetus kembali dalam kalangan remaja terutamanya.
Walaupun kini sumber ilmu boleh didapati melalui internet atau e-buku, peranan buku yang boleh disentuh dan dicium itu jangan sekali-kali dinafikan peranannya yang boleh menggoncang hati dan perasaan saat membacanya. (",)
No comments:
Post a Comment