Saturday, June 2, 2012

PTPTN vs Pendidikan Percuma


Salam w.b.t.

Menyaksikan debat antara Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli dengan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin baru-baru ini sesuatu yang mengkagumkan buat diri ini. Segala hujah yang dibentangkan oleh kedua-dua orang pendebat cukup membuka minda kita betapa masalah pendidikan tinggi negara sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian yang sewajarnya.

Membincangkan isu pemansuhan PTPTN dan halatuju pendidikan tinggi negara, saya kira semestinya kita mendapat banyak maklumat mengenai tujuan PTPTN diwujudkan dan sejauh mana ia membantu golongan pelajar di Institut Pengajian Tinggi Awam(IPTA) mahupun Institut Pengajian Tinggi Swasta(IPTS). Melalui debat tersebut juga dapat kita tahu, berapa banyak dana yang diperuntukkan kepada sistem pendidikan negara kita sendiri.

Sedikit sebanyak ia membuka mata dan minda kita terutamanya golongan bumiputera yang mendapat bantuan tersebut. Kalau tidak kerana bantuan tersebut, mungkin peluang untuk menyambung pelajaran sedikit terbantut.

Terdapat juga negara yang memberikan pendidikan percuma kepada rakyatnya sejak dari tadika sehingga ke peringkat Ph.D. Antaranya Finland, negara pengeluar Nokia. Inilah yang dijanjikan oleh PKR sekiranya mereka berjaya memegang tampuk pemerintahan kelak.

YB Khairy pula menjelaskan walaupun terdapat pelajar yang enggan membayar balik pinjaman PTPTN, ia hanyalah dalam peratusan yang kecil. Pegawai yang bertugas memberikan tempoh-tempoh tertentu kepada pelajar setelah menamatkan pengajian mereka dan tiada paksaan mengenai jumlah yang ingin dibayar. Sedikit pun tidak mengapa asalkan akaun pembayaran tersebut diaktifkan. Begitulah katanya.

Bagi pendapat peribadi saya, debat tersebut suatu langkah yang bijak dan memberi pencerahan kepada saya mengenai sistem pendidikan negara kita dan bagaimana dana-dana negara diuruskan oleh kerajaan. Susah sebenarnya hendak menguruskan sejumlah wang yang banyak ini.

Saya tertarik dengan apa yang dikatakan oleh saudara Rafizi, memetik kata-kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi.

"Kita merupakan negara yang mempunyai infrastruktur kelas pertama, namun rakyatnya masih bermentaliti kelas ketiga."

Ada benarnya kenyataan tersebut. Buktinya? Sama-samalah kita fikirkan ya.

Bagi mereka yang masih belum melihat video debat tersebut terutamanya golongan siswa siswi, saya sarankan anda luangkan sedikit masa menontonnya dan memikirkan segala yang dibincangkan dalam program itu. Barulah kita boleh menilai sendiri bagaimanakah tahap pendidikan negara kita.






2 comments:

  1. shallow judgement is the best example in showing the mentality of our society.

    ReplyDelete
  2. Plus extreme critism without precise knowledge..we need to control our emotion so that rational thinking can be expressed..

    ReplyDelete

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...