Salam w.b.t.
Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1434H buat semua umat Islam di seluruh dunia.
Berlalu sudah bulan Zulhijjah, bulan umat Islam menunaikan ibadah haji di Mekah di samping melakukan ibadah korban sebagai simbolik memperingati peristiwa Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail. Ibadah haji dan korban, kedua-duanya mengajar kita bahawa manusia itu semuanya sama walaupun latar belakang kehidupannya berbeza-beza.
Bulan Muharram merupakan salah satu bulan yang diharamkan berperang di dalamnya. Kalimah 'Muharram' itu sendiri bermaksud 'diharamkan'. Selain Muharram, bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Rejab juga termasuk dalam kategori bulan yang diharamkan berperang.
"
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai hukum berperang dalam bulan yang dihormati: katakanlah: "Berperang dalam bulan itu adalah berdosa besar...
"
- Surah Al-Baqarah, ayat 217.
1 Muharram di Karad lewat sehari dari Malaysia, memandangkan sambutan Aidilfitri di sini juga lewat sehari. Menurut salah seorang penduduk tempatan, mereka tidak menyambut awal Muharram sepertimana kita menyambutnya di tanahair.
Bulan Muharram merupakan gerbang kepada permulaan 'buku baru' dalam kehidupan kita. Zulhijjah menjadi penutup kepada tahun sebelumnya yang sudah menjadi sejarah dalam kamus hidup insani.
Muharram bukan sekadar indikator bermulanya tahun baru 1434H, bahkan ia harus dilihat lebih dari itu.
Sirah Rasulullah S.A.W.
Sirah secara literal membawa maksud perjalanan hidup Nabi Muhammad S.A.W. Dalam surah Al-Isra' ayat 1, kalimah sirah ada digunakan dalam bentuk perbuatan di mana Allah S.W.T. memperjalankan hambanya dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Palestin.
Peristiwa hijrah mengimbau kembali peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W. dari Mekah ke Madinah demi mengembangkan dakwah Islam. Hijrah Nabi berlaku pada bulan Rabi'ul Awwal seperti yang disepakati 'ulama, bukan pada bulan Muharram.
Hijrah dan Perubahan
Satu fenomena yang sedang berlaku adalah penghijrahan selebriti dan artis ke arah mengamalkan Islam yang sebenarnya dalam kehidupan mereka. Saya kira ini sesuatu yang sangat positif dan harus digalakkan. Sesungguhnya, untuk berubah ke arah yang baik ini memerlukan pengorbanan yang sangat besar.
Saban tahun, apabila datang Muharram, orang akan kaitkannya dengan hijrah. Hijrah yang kita faham, dari yang kurang baik kepada yang baik, dan daripada yang baik kepada sesuatu yang lebih baik. Ini yang kita belajar di sekolah dahulu.
Persoalannya, cukupkah hijrah itu sekadar tahu pengertiannya sahaja?
Berbaloikah hijrah itu sekadar kita menetapkan azam pada awal-awal Muharram namun lama-kelamaan semangat itu luntur dan layu ditelan zaman (masa)?
Azam tahun baru hijrah harus diterjemahkan dengan perbuatan untuk mengamalkannya secara berterusan. Biarlah sekecil manapun azam itu, kalau dilakukan secara istiqamah lebih baik daripada melakukan sesuatu yang besar pada tempoh masa yang singkat.
Saya percaya mahasiswa dan mahasiswi hari ini sudah mula kenal apa itu dakwah, apa itu usrah, siapa Ustaz Azhar Idrus, bagaimana menganggap ujian yang mendatang sebagai kasih sayang dari Tuhan. Semuanya digerakkan oleh perasaan untuk berhijrah ke arah yang lebih baik, ke arah mendapat keredhaan Allah di dunia dan di akhirat sana.
Namun, sekali lagi saya ingatkan kita, lebih-lebih lagi saya sendiri, ia perlukan mujahadah dan pengorbanan yang besar untuk membuang karat-karat jahiliyah yang sudah lama 'bertakhta di hati'.
Praktikkan Azam Itu
Akhir kalam, Muharram itu bukan hanya bulan untuk mengadakan azam baru, sebaliknya ia bulan untuk mempraktikkan azam tersebut dalam kehidupan kerana belum tentu kita dapat hidup pada Ramadan akan datang untuk beribadah di dalamnya.
p/s : Teringat salah satu watak dalam cerita Ahmad Albab.
No comments:
Post a Comment