Salam w.b.t.
Alhamdulillah baru-baru ini kita diberikan peluang dan rezeki untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersempena dengan musim haji saban tahun. Ibadah haji merupakan ibadah kemuncak dalam kehidupan seorang Muslim dan Mukmin.
Sambutan Aidiladha bukan sekadar musim untuk mendapatkan daging-daging percuma, bahkan ia lebih dari itu. Ia punya iktibar dan teladan rentetan peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan isterinya Siti Hajar. Aidiladha mengungkap sejarah pengorbanan mereka yang boleh kita contohi dan amalkan dalam hidup. Menjadi lumrah alam, untuk mendapatkan sesuatu seseorang itu harus berusaha dan berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk mendapatkan segulung ijazah, sepinggan nasi goreng pattaya mahupun sebukit kasih sayang dari keluarga.
Kami di Karad juga berpeluang untuk menyambut Hari Raya Korban walaupun ketika itu, musim exam masih belum berakhir. Ia jatuh pada hari Sabtu, sehari lebih lewat dari Malaysia. Pada pagi raya itu pula sebahagian dari kami mempunyai practical exam termasuk saya... =(
Solat raya selalunya diadakan di satu kawasan lapang, Eidghah. Di sini semua penduduk tempatan akan bersolat beramai-ramai beralaskan sejadah dan beratapkan langit yang luas. (puitis pulak) Suasananya cukup meriah dan kita sendiri pun akan bersemangat melihat keramaian manusia yang ada. Namun, solat raya juga ada dilakukan di masjid-masjid yang terletak berdekatan dengan Eidghah.
Keesokan harinya, kami melawat tempat sembelihan lembu yang dilakukan di kawasan yang tertutup. Ini untuk menjaga sensitiviti dan mengelakkan berlakunya pergaduhan kerana masyarakat Hindu menganggap lembu sebagai binatang yang suci. Untuk mengambil gambar atau video ketika sembelih pun dilarang sama sekali. Cukup setakat niat sahajalah.
Lembu di sini kebanyakannya diimport dari luar Karad. Untuk menumbangkan seekor lembu, cuma 2 orang diperlukan. Mantap!
Daging yang sudah siap digoreng
Kami juga dijemput oleh Ashraf Bhai, salah seorang penduduk tempatan ke rumahnya untuk menjamu selera di sana. Mereka sangat berbesar hati dengan kunjungan kami. Tetamu yang hadir, akan dilayan sebaik mungkin ibarat raja. Inilah salah satu prinsip dalam jemaah Tabligh iaitu Ikraamul Muslimin (memuliakan Muslim) dan salah satu sunnah Rasulullah s.a.w.
No comments:
Post a Comment