Salam w.b.t.
Alhamdulillah masih lagi diberi peluang untuk bernafas di bumi Allah walaupun ada ketikanya diri ini futur atau leka dengan nikmat dunia yang sementara.
Kali ini terdetik untuk menulis berkaitan bidang perubatan pula setelah ada terbaca mengenainya di facebook. Teringin untuk menulis di sini dan bukannya di akudanstetoskop kerana ia berkaitan istilah yang selalu digunakan oleh orang awam.
Sakit urat. Salah satu simptom yang selalu kita dengar lewat golongan warga emas yang sudah lanjut usia termasuk golongan dewasa. Persoalannya, siapakah yang telah mempopularkan istilah ini? Bagaimana mereka tahu spesifik bahawa urat yang bermasalah? Paling penting, urat itu merujuk kepada apa?
"Makcik sakit urat doktor.." kata Makcik Limah sambil menggosok lututnya dengan mimik muka yang sedang menahan kesakitan.
Sakit urat itu suatu istilah yang terlalu general. Banyak faktor yang menyumbang kepada fisiologi atau proses berlakunya sakit urat.
Sakit urat boleh merujuk kepada trauma atau kecederaan kepada otot, salur darah atau saraf sehingga mengganggu fungsinya yang normal.
Menururt Dr. Nizar, sakit urat boleh berpunca daripada muscle strain atau muscle sprain. Concise Medical Dictionary of Oxford memberi definisinya seperti berikut :
Muscle sprain is defined as injury to ligament, caused by sudden overstretching, while muscle strain refers to the excessive stretching or working of a muscle, resulting in pain and swelling of the muscle.
Kita boleh katakan, sakit urat ini berlaku apabila otot-otot terpaksa bekerja lebih masa melebihi kapasiti yang ada. Sebab itu badan sentiasa lenguh dan sengal-sengal. Kerana apa? Kerana badan tidak diberi hak untuk berehat daripada melakukan kerja-kerja berat misalnya.
Itu kalau masalah otot menjadi penyebab sakit urat.
Bagaimana pula dengan saraf, salur darah?
Orang selalu mengatakan urat, saraf dan salur darah tergolong dalam entiti yang sama. Mungkin sebab wujudnya kalimah urat saraf. Ataupun ia hasil daripada istilah timbul urat di tangan yang dikiaskan kepada salur vena (vein) ketika prosedur untuk mengambil darah.
Salur darah yang terjejas mengakibatkan kematian tisu yang berada jauh dari salur yang terjejas itu (distal area). Saraf yang terjejas fungsinya pula mengakibatkan kehilangan deria sentuh dan sensitiviti tisu, seperti yang berlaku kepada pesakit kencing manis.
Adakah kedua-dua situasi di atas juga menyebabkan kesakitan, atau lenguh-lenguh badan? Kalau ya, maka kita boleh menjustifikasikan bahawa kerosakan salur darah dan saraf juga termasuk dalam kategori sakit urat.
Wallahua'laam..sekadar melontarkan pandangan. Kalau ada yang lebih arif sila kemukakan pendapat di ruangan komen. (",)
No comments:
Post a Comment