Friday, June 10, 2011

Ibarat kain putih yang suci murni

Salam w.b.t.

Al-insaan ashraful makhluuqaat. Manusia ialah sebaik-baik kejadian yang diciptakan oleh Allah sebagai khalifah di dunia ini. Manusia itu sendiri dikurniakan akal fikiran supaya digunakannya untuk membuat pertimbangan yang waras dan membezkannya dengan haiwan yang hanya memiliki otak tanpa akal. Namun betapa ramai yang yang kurang atau tidak menggunakan akal langsung sehingga merendahkan martabat manusia serendah-rendahnya.

Manusia bukanlah berasal dari golongan monyet, beruk atau yang sekufu dengannya. Sangat tidak tepat teori Charles Darwin itu. Kita semua berasal dari Adam. Anak cucu Adam sejak zaman-berzaman.

Perkembangan manusia dari bayi sehingga dewasa merupakan sesuatu yang unik dan ada diceritakan dalam Al-Quran. Sebelum dilahirkan di dunia, kita semua berada dalam sebuah kegelapan iaitu kegelapan rahim ibu kita selama 9 bulan 10 hari. Perubahan demi perubahan berlaku dari segumpal daging kepada makhluk iaitu insaan.


وَ
لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ مِن سُلَـٰلَةٍ۬ مِّن طِينٍ۬ (١٢) ثُمَّ جَعَلۡنَـٰهُ نُطۡفَةً۬ فِى قَرَارٍ۬ مَّكِينٍ۬ (١٣) ثُمَّ خَلَقۡنَا ٱلنُّطۡفَةَ عَلَقَةً۬ فَخَلَقۡنَا ٱلۡعَلَقَةَ مُضۡغَةً۬ فَخَلَقۡنَا ٱلۡمُضۡغَةَ عِظَـٰمً۬ا فَكَسَوۡنَا ٱلۡعِظَـٰمَ لَحۡمً۬ا ثُمَّ أَنشَأۡنَـٰهُ خَلۡقًا ءَاخَرَ‌ۚ فَتَبَارَكَ ٱللَّهُ أَحۡسَنُ ٱلۡخَـٰلِقِينَ (١٤)
Surah Al-Mukminuun : ayat 12-14

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh. Kemudian Kami jadikan air benih itu sesuatu yang melekat, lalu sesuatu yang melekat itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu kami jadikn tulang belulang, lalu tulang belulang itu kami bungkus dengan daging. Kemudian kami menjadikannya makhluk yang lain sifat keadannya. Mahasuci Allah, Pencipta yang paling baik.

وَٱللَّهُ أَخۡرَجَكُم مِّنۢ بُطُونِ أُمَّهَـٰتِكُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ شَيۡـًٔ۬ا وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَـٰرَ وَٱلۡأَفۡـِٔدَةَ‌ۙ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ (٧٨)

Surah An-Nahl : ayat 78

Maksudnya : Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati nurani agar kamu bersyukur.

Apabila melihat golongan kanak-kanak, kenangan semasa kecil menjelma kembali. Teringat bagaimana betapa nakalnya saya semasa kecil dahulu dan suka berperang antara adik-beradik. Lucu pula apabila difikir-fikirkan telatah semasa kecil yang selalu menyebabkan kemarahan orang tua.

Semasa kecil yakni ketika masih bayi, kita semua mempunyai rabun dekat (hypermetropia). Hal ini disebabkan saiz bebola mata yang terlalu kecil sehingga menyumbang kepada terjadinya rabun dekat tersebut. Semakin bertambah umur, semakin bertambah saiz bebola mata sehingga pembesaran mata berada pada tahap yang optimum dan seseorang itu dikatakan mempunyai penglihatan yang normal jika saiz bebola mata bertambah secara normal dengan peningkatan umur. Sekiranya pertambahan saiz bebola mata sangat perlahan, saiznya akan kecil dari saiz yang sepatutnya lalu rabun dekat akan terjadi dan sebaliknya kalau saiz bebola mata meningkat secara mendadak, rabun jauh (myopia) akan berlaku. Semasa tempoh pembesaran, makanan yang berkhasiat harus diberikan kepada bayi supaya perkembangan bayi tersebut berada pada tahap yang memberangsangkan.

Bercakap soal kanak-kanak, mereka boleh dikategorikan sebagai golongan 'diktator'. Haaa. Kenapa ? Sebab mereka suka kalau orang mendengar cakap mereka. Mereka suka mengarah itu dan ini, begitu dan begini supaya kemahuan mereka dipenuhi. Sesetengahnya tidak mahu memberi kerjasama untuk dilakukan pemeriksaan ke atasnya mungkin gerun dengan manusia yang berkot putih agaknya. Mereka lebih selesa berada dalam pangkuan si ibu atau nenek.

Ada yang menggeleng-geleng kepala dan sentiasa berpaut pada ibunya saat didekati oleh manusia berkot putih. Ada juga yang cool sewaktu diperiksa badannya tanpa banyak soal sambil mengukirkan senyuman di bibir seolah-olah mengatakan "Saya rela diperiksa.."

Itulah antara cabaran yang perlu dihadapi ketika ingin merawat kanak-kanak. Perlu ada kemahiran untuk menjadi kanak-kanak juga supaya mereka selesa berdamping dengan manusia berkot putih. Ada disebutkan bahawa antara peralatan yang perlu dibawa ketika bertemu dengan mereka adalah alat permainan atau gula-gula. Kanak-kanak akan lebih percaya dan memberikan kerjasama disebabkan mereka mendapat apa yang mereka suka dan selesa dengan rakan yang dianggap sebaya itu.

Kanak-kanak ialah golongan yang bersih dari sebarang dosa. Ibu bapa mereka yang mencorakkan kehidupan mereka, sama ada hendak jadi baik atau buruk. Alam si kecil sentiasa penuh dengan gelak tawa dan permainan. Pada waktu ini, penjagaan kesihatan harus dititikberatkan kerana mereka mudah mendapat jangkitan dek sistem imun yang masih lemah. Proses untuk menjadi insan yang berakal bermula dari kecil. Bak kata peribahasa, "Melentur buluh biarlah dari rebungnya."

p/s : Wad pediatrik ketika ini begitu lengang. Tidak ramai pesakit sangat, tetapi kes yang ada cukup menarik.

No comments:

Post a Comment

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...