Saturday, June 25, 2011

Mensyukuri Nikmat Yang Sementara


Salam w.b.t.

Entah apa pula perayaan yang disambut ketika ini sehingga kedengaran bunyi pukulan gendang secara berterusan dari pagi tadi lagi. Memandangkan bangunan asrama terletak berdekatan dengan kuil, maka jelaslah kedengaran bunyi gendang seolah-olah mereka sedang mengadakan raptai untuk majlis yang besar. Sebenarnya dari semalam lagi latihan bermula sehingga lewat malam.

Selain musim hujan, satu lagi musim yang tidak kurang pentingnya sedang berlaku di sini. Musim peperiksaan akhir bagi budak-budak Tahun 1 yang mana mereka harus melepasinya untuk masuk ke Tahun 2. Bukan senang tetapi tidak susah kalau rajin study dan yakin dengan kemampuan diri untuk berjaya. Teringat pula bagaimana keadaannya kami pada 2 tahun lepas. Tiada senior, tiada sebarang rujukan untuk dijadikan panduan dalam pelajaran. Namun itu semua bukanlah alasan untuk meneruskan langkah ke hadapan. Apa yang penting ? Kerjaasamaa. Ya, kerjasama sesama rakan banyak membantu dan memberi kekuatan untuk sama-sama mendapat kejayaan.

Selain itu, cuaca yang agak cool disebabkan mentari tersipu malu untuk memunculkan dirinya seakan membantu mereka yang sedang bergelut dengan ujian di atas kertas. Perasaannya agak tenang dan selesa mungkin, disebabkan alam pun seolah-olah mengerti bahawa mereka sedang berjuang dengan ujian yang besar.

Sebesar mana pun ujiannya, tidak akan pernah sama dengan apa yang pernah dilalui oleh para Nabi dan Rasul itu. Ujian mereka lebih berat dan sangat menguji kesabaran. Ujian yang menguji kesabaran mereka dalam berdakwah. Sehinggakan Rasulullah S.A.W. sendiri pernah menerima ancaman bunuh oleh mereka yang memerangi dakwah Baginda.

Sangat kecil ujian yang kita hadapi sekarang. Kalau kita rasa ujian yang kita hadapi sangat berat, ada lagi manusia yang diuji lebih berat dari kita. Kita sudah pun hidup dalam zaman yang serba selesa. Ada tempat tinggal, makanan yang serba cukup, kesihatan yang baik. Apa lagi yang kita inginkan dalam hidup ini. Terkadang nikmat yang banyak itu sentiasa melekakan. Saya sendiri mengalaminya dan entah berapa banyak lagi nikmat yang ada yang kita anggap itu anugerah dari Allah namun hakikatnya satu bentuk ujian kepada kita.

Dalam zaman yang serba canggih ini, di mana taraf hidup manusia sudah semakin bertambah baik, tiba-tiba ada sebahagian orang yang hidup merempat di jalanan, di bawah jambatan dan sebagainya sedangkan kita hidup mewah di rumah atau asrama atau di mana saja. Pada masa yang sama kita tidak bersyukur dan mengambil pelajaran dari golongan tersebut. Maka adakah relevan untuk kita bersikap tidak puas hati dengan ujian hidup yang sedang kita alami ?

Bolehkah dikatakan sesebuah negara itu semakin membangun dengan pelbagai kemajuan yang ada sedangkan ada sekelompok manusia yang lain yang nasibnya bergantung harap kepada orang lain demi menjalani hidup sehari-hari.

Jadi sebaiknya kita harus banyak bersyukur kerana masih diberikan kesihatan yang baik dan nikmat itu belum ditarik lagi. Seharusnya bersyukur dapat peluang untuk belajar dalam keadaan yang selesa dan aman tanpa peperangan. Bagaimana agaknya nasib para remaja di Palestin sana. Adakah suasana pembelajaran mereka sekondusif suasana kita belajar ?

Allah boleh menguji kita hamba-Nya dalam pelbagai bentuk yang datangnya tanpa disangka-sangka. Salah satunya ialah melalui hiburan dalam apa jua bentuk yang nampak menyeronokkan dan menggembirakan walhal ia secara perlahan-lahan membawa manusia jauh dari mengingati Allah. Na'udzubillahi min dzalik.

No comments:

Post a Comment

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...