Salam w.b.t.
Sedar tak sedar, sudah hampir separuh tahun berlalu. Masa-masa yang berlalu itu sudah jauh meninggalkan kita seperti kata Imam al-Ghazali, yang paling jauh adalah masa yang telah berlalu dan tak akan kembali lagi.
Memasuki bulan Jun semestinya boleh dikaitkan dengan cuti sekolah yang agak panjang bagi yang sedang bersekolah. Bagi yang sudah berkerjaya atau sudah khatam zaman sekolahnya sudah tentu merindui saat-saat untuk bercuti sebab ruang untuk bercuti dan tafsiran terhadap cuti itu berbeza mengikut zaman belajar. Apabila seseorang itu telah berubah dari amatur ke profesional dalam pelajarannya maka ruang untuk bercuti semakin berkurang yang mana cuti yang singkat itu lebih bermakna daripada tiada cuti langsung.
Eh, boleh pulak macam tu.
Bercakap pasal cuti, sekarang pun saya tengah bercuti namun bukanlah bermakna saya sedang bersiar-siar di Pulau Pangkor atau Pulau Payar. Macam yang saya katakan tadi, tafsiran cuti bagi setiap orang adalah berbeza. Walaupun saya tengah bercuti atau kata mat solehnya on holiday, saya masih ada aktiviti posting di bilik yang menempatkan kanak-kanak yang terpilih.
Kalau difikir-fikir balik, saya banyak juga keluar berjalan dan mengembara ke banyak tempat dengan harapan ada mutiara yang dapat saya bawa balik untuk dijadikan inspirasi dalam hidup. Eh, ada unsur-unsur satira di situ. Dan hampir setiap minggu akan mengikut program di luar stesen yang agak jauh jaraknya saujana mata memandang. Kata orang kalau kita tak berkorban, kita tak akan dapat merasa nikmatnya kehidupan. Cewah... Maka kalau nak tahu kenalah rasa sendiri barulah ada pengalaman untuk diceritakan kepada orang lain.
Baru-baru ini saya berpeluang mengikuti program PERMISI a.k.a. Perhimpunan Mahasiswa Islam Seluruh India di Bangalore. Perjalanan dari Karad ke Bangalore mengambil masa kurang lebih 12 jam secara teori dalam kitab pelancongan. Praktikalnya boleh berubah mengikut keadaan dan kecekapan pemandu bas sebab trip saya pun cuma 8-9 jam sahaja. Mungkin jalan sudah makin elok dan lebuh raya pun sudah ada menyebabkan perjalanannya semakin cepat dan efektif. Walaupun jauh, alang-alang ada masa lapang lebih baik diringankan kaki melangkah pergi sebelum diri dijemput pergi. Lapang sebelum datangnya sempit.
Penceramah yang dijemput pun hebat-hebat belaka. Bunyinya macam ramai pula yang datang padahal hanya seorang sahaja penceramah iaitu Prof Madya Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin atau dikenali sebagai Dr. MAZA. Beliau merupakan pensyarah tetap di Universiti Sains Malaysia dalam bidang Pengajian Islam.
Banyak ilmu dan idea yang dikongsikan oleh Dr. MAZA sepanjang program tersebut. Antaranya berkenaan Akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah, perubatan Islam dan beberapa salah faham atau kekeliruan yang wujud dalam kalangan orang melayu Muslim di Malaysia.
Apabila disebut akidah ia bermaksud pegangan atau fahaman yang menjadi amalan dan asas dalam kehidupan beragama. Apa saja hukum akan diambil mengikut fahaman sesebuah negara itu. Contohnya di negara kita majoritinya mengamalkan mazhab Syafi'e. Segala bentuk ibadah, muamalat dalam kehidupan adalah berdasarkan mazhab Syafi'e. Persoalannya, adakah kita benar-benar punya alasan kenapa kita mengikut mazhab tersebut. Adakah ia hanya sekadar ikutan mengkhinzir buta atau pengamalannya adalah berdasarkan hujah-hujah yang diyakini kesahihannya.
Di sinilah letaknya peranan untuk kita kembali kepada pengamalan sunnah yang sahih. Mazhab yang empat itu berasal atau merupakan kesinambungan daripada Ahlus Sunnah wal Jamaah. Semuanya mempunyai persamaan dari segi akidah Islamiah dalam erti kata mengakui tiada Ilah selain Allah s.w.t. cuma dari segi ibadah saja yang ada perbezaan. Akidah merupakan hal yang melibatkan semua Muslim, tak kira siapa pun. Selagi dia beragama Islam dia harus mempunyai akidah yang sejahtera dan jelas. Kita harus berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah sebagaimana Ahlus Sunnah wal Jamaah dan cuba mengamalkan sunnah Nabi dalam kehidupan. Sunnah yang sahih dan bukan sesuatu yang disandarkan kepada Nabi sedangkan Nabi tidak pernah mengamalkannya atau mengiakan amalan itu.
Selain itu, ustaz juga ada berkongsi mengenai Ruqyah, atau dalam Layman termsnya (bahasa mudah) bermaksud jampi. Jampi ini bukan saja boleh digunakan untuk menghalau makhluk halus atau mengubati orang histeria bahkan boleh juga digunakan untuk berubat penyakit yang tidak melibatkan unsur mistik. Contohnya, kita bole menjampi air dengan doa yang tertentu untuk mengubat pesakit dan pada masa yang sama kita tanamkan nilai akidah dalam diri pesakit dengan mengatakan usaha itu hanya sejenis ikhtiar, yang berkuasa menyembuhkan hanya Allah s.w.t.
Nampak tak bagaimana Islam itu merupakan agama yang praktikal, senang untuk diamalkan. Ia bukanlah hanya terhad kepada masa atau tempat tertentu. Bukanlah perlu tunggu dapat sijil tauliah atau kelulusan baru boleh menjadi da'ie atau pak imam. Nabi pernah sebut,"Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat." Nak kata bagaimana pentingnya untuk kita beramal dengan sebenar-benar amal dalam kehidupan dan menyampaikan pada orang lain. Maka kita harus rasa dahulu kemanisan dalam beramal. Perlu ada akidah yang mantap supaya kita tak mudah goyah kalau ada anasir kat luar sana yang cuba memberi paracetamol secara berlebihan untuk melegakan sakit kepala kita kononnya sedangkan ia tidak lain hanya mendatangkan toksik pada pemikiran kita.
Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan program tersebut. Seronok sebab dapat jumpa ramai kenalan baru dan dapat berkongsi pengalaman serta bertukar-tukar pandangan dengan mereka. Rasanya masa program perlu dipanjangkan sebab saya lihat para peserta begitu teruja dan khusyuk ketika mendengar ceramah. Rasa berbaloi datang dari jauh sebab antara mendengar secara hidup (baca:live) dan mendengar di youtube, perbezaannya sangat ketara. Kalau tengok secara hidup, secara berdepan dengan guru kita, akan menimbulkan satu perasaan yang susah untuk digambarkan. Tiada kata-kata mahu pun ayat yang boleh menggambarkan situasi itu melainkan ia dizahirkan melalui perbuatan. Saat mendengar kuliah secara hidup, bulu roma dirasakan meremang secara tiba-tiba dan jiwa dirasakan bergetar apabila mendengar ayat-ayat Allah dibaca. Fuh.. Sungguh perasaan itu hanya dapat dirasakan apabila kita belajar secara berdepan dengan guru kita kerana kita sendiri dapat merasakan betapa manisnya ilmu yang dituntut itu dan lebih manis lagi kalau ianya diamalkan.
Contoh yang lain, antara tengok final Champions League Manchester United vs Barcelona secara live dengan tengok siaran tertunda, mana satu yang lebih nikmat agaknya.. =)
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan membuka minda kita semua. Sekiranya ada kecacatan atau kesalahan maklumat harap diberitahu. Mereka yang hebat ialah yang sentiasa belajar dari kegagalan dan berusaha membaikinya.
-Yang masih berusaha membaiki diri-
No comments:
Post a Comment