Salam w.b.t.
Kasih ibu membawa ke syurga. Kasih ayah tiada bandingan. Kedua-duanya merupakan insan yang terpenting dalam hidup kita. Tanpa mereka maka tidak mungkin kita dilahirkan di dunia yang sementara ini. Sejak dalam kandungan lagi sudah ada perjanjian antara ruh dan sang Pencipta. Ruh itu sendiri mengakui Allah sebagai Pencipta dan dimeterai perjanjian antara mereka di mana ruh berjanji untuk menyembah-Nya sebagai Khaliq.
Ruh semasa dalam kandungan itu berasa sedih dan berat hati untuk berpisah dengan Tuhan. Disoalnya siapa yang akan menjaganya apabila ia dilahirkan ke dunia nanti. Bagaimana nasibnya di dunia kelak. Apakah ada yang akan memberi sepenuh perhatian kepadanya. Lantas Tuhan menjawab, Dia akan memberikannya seorang malaikat yang akan setia menjaganya dengan penuh kasih sayang. Malaikat itu bernama Ibu.
Suatu ketika Rasulullah s.a.w. pernah ditanya siapakah yang lebih berhak selepas Allah dan Rasul. Jawab Baginda, "ibumu" sebanyak tiga kali sebelum "ayah". Betapa ibu itu lebih berhak diberi keutamaan dalam kehidupan kita.
Namun ayah turut memainkan peranan penting dalam kehidupan. Ayah juga harus dihormati selayaknya kerana ayah juga banyak berkorban untuk kita. Namun cara bagaimana ayah menunjukkan kasih sayangnya ternyata berbeza dengan ibu. Walaupun caranya agak keras, hatinya sentiasa lembut dan ingin melihat kita mendapat yang terbaik dalam hidup.
Salah satu filem yang bertemakan pengorbanan ayah adalah Pedar (Father) arahan Majid Majidi iaitu seorang pengarah filem dari Iran. Pedar menceritakan konflik seorang anak, Mehrollah yang tidak dapat menerima hakikat kehadiran ayah tiri dalam hidupnya. Dia begitu sedih apabila mendapati ibunya berkahwin lagi setelah kematian ayah yang disayanginya. Si anak mula memberontak terhadap ayah dan ibunya kerana dia menganggap dirinya mampu menyara hidup mereka sekeluarga tanpa perlu ibunya berkahwin semula.
Macam-macam yang dilakukan oleh si anak untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap ayah tirinya yang dituduh sengaja mengambil kesempatan terhadap keluarganya. Namun ayahnya tetap bersabar dan sentiasa berusaha membaiki hubungan mereka yang tegang itu. Bagi saya, babak yang paling menarik ialah ketika ayahnya berusaha mencari si anak yang melarikan diri dari rumahnya dan sanggup pergi ke bandar yang sangat jauh dari rumahnya semata-mata untuk menjemput si anak ya
ng nakal itu. Dalam perjalanan pulang pun terdapat babak yang menunjukkan betapa kerasnya hati si anak untuk bekerjasama dengan ayahnya walaupun ayah cuba memujuknya dengan tindakan yang lembut. Babak yang saya kira memberi kekuatan dalam filem ini.
Jangan cuba nak lari ya! Sumber
Di akhir cerita hubungan antara anak dan ayah semakin baik setelah pelbagai dugaan yang menimpa mereka membuatkan terbuka hati si anak untuk menerima ayah tirinya itu. Nak tahu macam mana dia yang pada mulanya membenci ayah tirinya tetapi kemudiannya berdamai dengan si ayah kenalah tengok cerita ini dahulu. Sesuatu yang agak menyentuh hati dalam cerita ini adalah bagaimana sifat sabar seorang ayah dalam menghadapi kerenah anak-anaknya. Kalau ada sesuatu musibah yang berlaku si ayah rela mengorbankan dirinya demi keselamatan anaknya. Tiada sifat penting diri sekalipun si anak banyak berbuat zalim pada ayahnya.
Hati manusia itu sentiasa berbolak-balik. Suatu hari seseorang itu boleh jadi nakal pada pandangan mata kita. Namun suatu hari kalau hidayah Allah sampai padanya nescaya Allah akan memberi kefahaman agama padanya. Sepertimana dalam filem Pedar, si anak yang pada mulanya memberontak terhadap si ayah akhirnya dapat menerimanya dengan hati yang terbuka. Sungguh besar peranan hati manusia dalam menentukan perihal baik buruk akhlak dalam dirinya.
No comments:
Post a Comment