Sunday, June 26, 2011

Pokok Itu Melambai-Lambai Kepadaku


Salam w.b.t.

Sebelum turunnya hujan beberapa petanda akan berlaku sebagai satu peringatan supaya kita bersedia dengan pelbagai kemungkinan yang bakal berlaku. Apa persediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi situasi tersebut. Begitu juga sebelum seseorang itu mendapat sesuatu penyakit, badannya akan menunjukkan tanda-tanda yakni simptom penyakit tersebut sebagai langkah berjaga-jaga kepadanya. Demam tidak berlaku serta-merta tetapi dimulai dengan simptom seperti sakit kerongkong dan lemah badan contohnya.

Tanda-tanda yang berlaku sebelum hujan membasahi bumi menunjukkan bahawa alam pun tahu berinteraksi dengan kita secara tidak langsung. Ia seolah-olah ingin memberitahu kita : "Berjaga-jaga kalian. Sebentar lagi hujan rahmat akan turun membasahi bumi-Nya. Boleh jadi ia membawa rahmat dan boleh jadi ia turut membawa musibah tanpa disangka-sangka." Begitu halus sekali bagaimana alam cuba 'bercakap' dengan kita.

Tengok langit, sudah pun kelam gayanya. Awan besar berwarna hitam kelihatan memenuhi dada langit. Semakin perlahan awan itu bergerak.

Kemudian kedengaran bunyi guruh berdentum-dentam. Kilat sabung-menyabung. Seringkali berasa terkejut dengan bunyi guruh yang sangat kuat. "Dunia sudah hendak kiamatkah ?"

Angin pula memainkan peranannya membawa mesej dari seberang sana. Berderu bunyi angin yang ditangkap oleh gegendang telinga untuk ditafsirkan oleh otak. Pokok-pokok kelihatan menari rancak mengikut rentak sang angin. Meliuk lentuk ditiup angin.

Tiba-tiba sesuatu bermain di fikiran :

وَأَمَّا عَادٌ۬ فَأُهۡلِڪُواْ بِرِيحٍ۬ صَرۡصَرٍ عَاتِيَةٍ۬ (٦)
Surah Al-Haqqah, ayat 6. (69:6)

Maksudnya : Adapun 'Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya.

Inilah dia angin yang suatu masa dahulu pernah menghancurkan kaum yang ingkar dengan suruhan Allah. Kaum yang mendustakan ayat-ayat-Nya dan menolak ajaran Rasul-Nya. Angin ini yang disangka manusia begitu nyaman dan menenangkan jiwa, namun ia pernah menghancurkan umat yang lalai suatu ketika dahulu. Bagaimanakah kalau angin ini berubah angin lalu membinasakan umat yang sedang lalai pada zaman ini pula. Lagipun, sudah banyak malapetaka yang dibawa oleh angin sebelum ini sebagai suatu bentuk hukuman dan peringatan dari Allah.

Dan angin ini juga pernah berkhidmat kepada Nabi Sulaiman A.S. Angin inilah yang setia membawa Baginda ke mana sahaja tempat yang ingin dijejaki. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana bentuk perjalanan Baginda menggunakan angin.

Suatu sunnah yang boleh kita amalkan apabila berlaku angin kencang ialah dengan mengamalkan doa yang pernah diamalkan Nabi Muhammad S.A.W.


اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا

"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikannya & aku berlindung kepada-Mu dari kejahatannya".
(HR. Abu Dawud 4/326, Ibnu Majah 2/1228 dan lihatlah kitab Shahih Ibnu Majah 2/305)

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا وَخَيْرَ مَا فِيْهَا وَخَيْرَ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ

وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا فِيْهَا وَشَرِّ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikan angin ini, dan kebaikan yang ada padanya, dan kebaikan apa yang dibawanya. Dan aku berlindung kepada-Mu dari kejelekannya, dan kejelekan yang ada padanya, dan kejelekan apa yang dibawanya.”

(HR. Muslim 2/616 dan Al-Bukhari 4/76)


Semoga setiap apa yang kita lakukan itu menjadi ibadah dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menghargai serta mengambil pengajaran dari setiap perkara yang berlaku di sekeliling kita. InsyaAllah...


No comments:

Post a Comment

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...