Monday, June 6, 2011

Melihat sambil berfikir itu bijak


Salam w.b.t....

Musim cuti sekolah sememangnya sesuatu yang dinanti-nantikan oleh adik-adik kita. Apabila datangnya cuti sekolah maka ia ibarat menemui sebotol air mineral setelah seminggu di padang pasir Moab.

Walaupun secara umumnya cuti bermaksud berehat di rumah tapi cikgu-cikgu pasti tidak akan lepas tangan sepenuhnya lalu memberikan kerja atau latihan yang perlu dihabiskan semasa cuti. Dalam erti kata yang lain, cuti sambil bekerja: dalam cuti masih bekerja untuk menyiapkan kerja rumah. Saya tahu sebab saya yang lampau pun ada mengalami nasib yang sama.. =D Semakin lama tempoh cuti, semakin banyak latihan yang diberikan. Hipotesis musim cuti yang masih perlukan kajian mendalam lagi. huhu

Maka banyaklah jemputan kenduri kahwin yang diterima. Lepas seorang, datang seorang lagi untuk memberikan jemputannya. Terkadang dalam sehari adalah 3 ke 4 kenduri yang perlu dihadiri. Rezeki katanya.Dapur di rumah pula tidak perlu diperasapkan untuk sementara waktu. Kenduri itu harus didahulukan. Kalau tidak membazir pula lauk kenduri. (eh?) Iya lah, selalunya mereka akan memasak secara pukal supaya bekalan makanan cukup untuk dijamu kepada tetamu yang datang. Namun apabila umur menginjak naik, komitmen untuk ke majlis walimah semakin berkurang. Mungkin benar mungkin juga salah.

Musim cuti juga waktu yang sesuai untuk aktiviti makan angin atau melancong. Kalau waktu belajar, masa yang ada diperuntukkan untuk mencari maklumat dahulu tentang tempat-tempat yang menarik. Selepas itu idea itu diketengahkan dan dibincangkan dengan mak ayah. Apabila sudah setuju maka berangkatlah mereka sekeluarga atau sekawan mahupun sekumpulan ke tempat yang dijanjikan. Dalam situasi ini adanya prinsip teori dan praktikal. Ilmu dan amal. Ilmu itu perlu bersesuaian dengan amal, kalau tidak ia hanya sekadar pengetahuan am sahaja. Apabila mendapat maklumat itulah dipanggil ilmu dan amalnya diterjemahkan dengan perbuatan makan angin itu sendiri.

Ramai yang hanya makan angin sahaja tanpa ada tujuan kenapa dia keluar berjalan, sampaikan perutnya dipenuhi angin sepoi-sepoi bahasa lalu menjadikannya lena dan asyik dengan segala bentuk hiburan. Bagi mereka yang ada kesedaran, mereka punya tujuan dan alasan untuk melihat alam yang luas ini. Keluar bukan untuk bersuka ria sampai tidak ingat akhirat bahkan lebih dari itu.(selalunya orang menggunakan istilah dunia dan bukannya akhirat)

Memang boleh saja bergelak tawa namun perlu diingat suka lawannya duka. Apabila terlebih suka maka dikhuatiri duka pula yang menimpa.

Tiba-tiba teringat firman Allah dalam Surah Al-Hujuraat, ayat 13 :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬

" Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).

Itulah tujuan utama setiap perjalanan dalam hidup ini, untuk mencelikkan mata yang hampir kuyu, membuka minda yang sebelumnya terbelenggu supaya mengenal bangsa dan agama lain yang Allah ciptakan. Dengan mengenal segala macam orang yang ada itu seharusnya merendahkan lagi diri ini dan mendekatkan kita pada-Nya betapa hebatnya Allah sebagai Pencipta. Setiap orang ada hidung masing-masing tetapi berbeza darjah kemancungannya. Ada yang berkulit cerah dan ada yang kurang cerah. Ada tinggi dan ada rendahnya. Ada yang bermata hitam dan tak kurang yang bermata biru tiruan. Itulah dia pelbagai jenis bangsa yang ada. Berbagai-bagai suku yang wujud sehingga masyarakat itu merupakan sesuatu yang unik.

Dengan mengenal masyarakat yang lain, maka kita akan sedar di tahap mana pencapaian kita sekarang. Kalau setakat jaguh kampung atau sekolah, ramai lagi yang lebih hebat bahkan mereka lebih 'tawaduk' dari kita sendiri.

Kata orang, jauh perjalanan luas pengalaman. Pengalaman hidup itu sesuatu yang sangat bernilai. Melihat ragam manusia yang pelbagai yang kadang-kadang boleh mewujudkan seribu satu tanda tanya dan persoalan. Persoalan itulah yang mencorakkan pemikiran dan perbuatan kita. Ia hanya berlaku apabila setiap pelancongan itu disertai dengan fikir dan lebih cantik lagi kalau ditambah dengan zikir. Subhanallah.

Betapa tersusunnya hidup ini kalau ia tidak disia-siakan. Antara berseronok-seronok tanpa tujuan dengan berseronok yang bertujuan dan mendapat pahala, mana satu yang kita pilih ? Semoga cakap kita serupa dengan apa yang dibikin.

Wallahua'laam...



No comments:

Post a Comment

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...