Salam w.b.t.
Seringkali diri ini bertanya, sepanjang hidup selama berpuluh tahun, apakah sumbangan yang telah diberikan sebagai bukti menjadi hamba Allah, menjadi pengikut Rasulullah. Apakah peningkatan yang telah berlaku dalam diri, ke arah yang lebih baik atau sebaliknya.
Apakah orang di sekeliling pun turut berubah ke arah mengamalkan Islam dalam erti kata yang sebenar di mana iman dan amal menjadi tunjang dalam segala kegiatan harian.
Harapan al-Faruq
Saidina Umar al-Khattab, khalifah ke-2 Khulafa' ar-Rasyidin merupakan seorang yang tahu apakah yang betul-betul berharga dalam dunia ini. Pernah suatu ketika Saidina Umar berada dalam sebuah bilik bersama para sahabat dan bertanyakan apa yang dihajati oleh mereka.
"Taman-nau..mintalah apa yang kamu inginkan.."
Kata seorang sahabat, "Aku harap Allah memberikan emas kepadaku supaya dapat aku gunakan ia untuk berjuang di jalan-Nya."
Seorang sahabat lain pula berkata, "Aku ingin Allah menganugerahkan permata kepadaku supaya aku boleh memanfaatkannya di jalan yang Dia redhai."
Setelah itu, sahabat bertanya kepada Khalifah Umar, apa yang dia inginkan.
Kata Saidina Umar,
"Aku tidak mahu emas atau permata seperti yang kalian idamkan itu. Aku cuma mahukan orang-orang seperti Abu Ubaydah al-Jarrah (sebahagian riwayat mengatakan Abu Ubaydah dan Mu'adz bin Jabal) supaya dapat aku hantar mereka ke mana-mana sahaja untuk berjuang di jalan-Nya..."
Lihatlah, bagaimana pemikiran seorang pemimpin pada masa itu. Walaupun harta sesuatu yang mesti ada untuk berdakwah, namun keperluan untuk mempunyai insan-insan yang sanggup berjuang menyebarkan Islam atas dasar keimanan dan kehambaan kepada Allah melebihi keperluan material. Sumber manusia itu sesuatu yang lebih penting daripada sumber kebendaan. Harta sentiasa ada dan boleh dicari ganti, tetapi manusia yang hatinya sentiasa terpaut kalamullah dan sentiasa merindui Rasulullah itu jarang-jarang ada dan susah dicari ganti.
Kita sepatutnya mencontohi tokoh-tokoh di atas dalam usaha menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Pembinaan insan yang berakhlak dengan akhlak Islam, bergaul dengan cara yang dianjurkan merupakan satu daya penarik untuk mengajak masyarakat mengamalkan Islam secara syumul. Mungkin apabila komuniti Muslim itu 'menjadi' sesuai dengan acuan agamanya, tidak mustahil masyarakat agama lain pun akan terbuka hati mereka untuk mengucapkan kalimah syahadah dan menjadi sebahagian dari komuniti Muslim.
Ia memerlukan usaha yang berterusan dan keinginan yang kuat untuk berubah dan menjadi seseorang yang berguna dalam masyarakat. Alangkah indahnya kalau di mana pun kita pergi, kita mampu menyumbang sesuatu kepada orang lain supaya manfaat itu boleh dikongsi demi kebaikan bersama.