Salam w.b.t.
Pernah diceritakan bagaimana sifat cinta kepada Nabi bukan sahaja ditunjukkan oleh para sahabat Baginda bahkan sebatang pohon kurma juga ternyata mencintai dan merindui akan Rasulullah s.a.w.
Terdapat sebatang pohon kurma yang telah mati dan dijadikan sebagai tiang masjid. Suatu ketika pada hari Jumaat, sementara menunggu jemaah memenuhi masjid Rasulullah s.a.w. akan berpaut pada pohon kurma tersebut dan menyampaikan khutbah. Apabila jemaah semakin ramai, Baginda bergerak ke mimbar masjid supaya dirinya dapat dilihat oleh jemaah ketika berkhutbah.
Ketika sedang berkhutbah, tiba-tiba kedengaran suara tangisan seperti tangisan anak kecil yang kehilangan ibunya. Para sahabat menoleh ke kanan dan ke kiri, mencari-cari dari manakah datangnya tangisan itu. Rupa-rupanya tangisan tersebut datang dari sebatang pohon kurma yang Rasulullah s.a.w. pernah berpaut padanya sebelum itu.
Semakin lama bunyi tangisan semakin kuat. Makin meninggi suara tangisan itu.
Allah... Begitu rindunya pohon kurma itu kepada Nabi walaupun hanya berpisah sekadar 8 langkah dari pohon kurma tersebut ke mimbar masjid. Hanya 8 langkah perpisahan dan bukannya perpisahan yang melangkau jauhnya masa dan tempat. Sungguh tinggi kecintaannya kepada Rasulullah s.a.w. walaupun ia tumbuh-tumbuhan semata.
Kemudian, Rasulullah menghentikan khutbahnya dan turun dari mimbar dan menuju ke arah pohon kurma itu. Baginda mengusap-usap pohon itu sepertimana perbuatan seorang ibu kepada anaknya ketika menangis.
Lama-kelamaan...suara tangisan mula perlahan sedikit demi sedikit, sehingga ia lenyap.
Betapa mulianya akhlak Rasulullah s.a.w. sehingga pohon kurma itu pun kasih dan sayang kepada Baginda dan tidak mahu berpisah dengannya.
Sungguh, terasa kerdil diri ini membaca kisah yang begitu meruntun jiwa. Betapa tingginya rasa cinta dan rindu salah satu makhluk ciptaan Allah terhadap Rasulullah s.a.w.
Kita, manusia yang punya akal dan perasaan pula bagaimana?
*Petikan kuliah Habib Ali al-Jufri..
No comments:
Post a Comment