Salam w.b.t.
Lumrah dunia hari ini, apabila seseorang itu beroleh kesenangan atau apa jua kejayaan pasti akan ada yang tidak puas hati dan inginkan nikmat itu ditarik balik daripadanya. Jiwa sentiasa gelisah dengan kesenangan orang lain. Tidak dinafikan ada juga segelintirnya yang boleh menerima segala kebaikan atau kelebihan yang ada pada orang lain.
Bagi golongan yang tidak puas hati ini, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan seseorang itu walau dengan apa cara sekalipun. Mereka ingin 'musuh' tersebut dihilangkan segala macam kesenangan hidup yang ada. Padahal yang empunya diri bukanlah hidup melarat pun. Namun dek bisikan syaitan, rasional akal untuk berbaik sangka diabaikan terus.
Surah Al-Falaq ayat 4 dan 5 ada menyebutkan perkara ini :
"Dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya."
2 ayat di atas ada kaitan antara satu sama lain. Ia menggambarkan perlindungan seorang hamba kepada Allah dari kejahatan makhluk yang boleh datang dalam pelbagai bentuk. Apakah yang cuba disampaikan dari maksud simpulan dan ikatan tersebut?
Apa lagi kalau bukan ilmu sihir. Ya, sihir yang didatangkan oleh insan yang berhasad dengki sesama manusia. Apabila akidahnya lemah, ia akan menggunakan cara yang terkutuk ini untuk menyakiti manusia yang dibencinya walaupun ianya dilarang keras oleh agama.
Sihir ini ada bermacam-macam jenis. Salah satu yang popular dalam masyarakat kita ialah santau. Santau merupakan salah satu bentuk sihir yang menggunakan perantaraan jin dan syaitan serta bahan-bahan seperti miang buluh dan ulat bulu. Santau angin merupakan santau kelas pertama (1st class) dan kesannya cukup menyeksakan.
Alkisah
Pernah semasa berada dalam bas, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di utara tanahair, ditakdirkan tempat duduk saya di belakang seorang mak cik ini yang kelihatannya sebaya emak saya. Semasa menunggu bas memulakan kembali perjalanan setelah berhenti di R&R, saya pun berborak-borak sekejap dengan mak cik tersebut dan mengetahui bahawa dia telah pun mempunyai cucu. Sembang punya sembang, barulah saya perasan yang mak cik ini salah seorang mangsa santau berdasarkan ceritanya.
"Kadang-kadang bila makcik makan nasi tu, tiba-tiba rasa macam ada kaca keluar dari gusi. Habis berdarah mulut makcik nie..."
Itulah antara luahan hati makcik tersebut semasa berada dalam bas. Diceritakannya kepada saya satu persatu dengan wajah yang sudah lama terseksa sampaikan saya yang mendengarnya pun berasa kasihan dengan nasibnya. Pada masa yang sama rasa gerun juga. Yalah, selalunya dengar dari mulut orang lain tapi setelah dengar dari mangsanya sendiri, agak terkejut juga. Seram pula.
Kalau difikirkan logik akal, macam tak tercapai akalmu. Sebabnya, macam tak boleh diterima akal kaca keluar dari mulut. Miang buluh keluar dari tapak kaki tetapi itulah realitinya yang dihadapi mangsa santau. Mereka tahu sebab mereka yang merasakannya. Benda-benda mistik ini, kena percaya juga walaupun tak dapat dilihat dengan mata kasar kerana ia melibatkan perantaraan jin dan syaitan yang terhijab dari pandangan manusia.
Perubatan Islam
Ingin saya kongsikan salah satu kaedah perubatan Islam yang boleh diamalkan untuk mengubati santau. Perubatan Islam ini, adalah satu cara berubat yang menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran untuk mengubati pesakit.
*Sila rujuk surah Al-Furqan, ayat 23 :
وَقَدِمۡنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُواْ مِنۡ عَمَلٍ۬ فَجَعَلۡنَـٰهُ هَبَآءً۬ مَّنثُورًا (٢٣)
Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.
InsyaAllah, kalau tuan/puan/sahabat/adik-adik amalkan ayat ini, kita doakan supaya Allah jadikan santau itu tawar serta-merta sebagai debu yang berterbangan. Apabila amal ayat ini, pertama sekali niatkan untuk dapat keredhaan dari Allah s.w.t. Kedua niatkan untuk mengubati penyakit santau tersebut.
Mudah-mudahan, mereka yang terkena santau itu akan sembuh apabila mengamalkan ayat ini. Dan yang paling penting, mereka yang terkena gangguan sihir ini kena kuatkan semangat. Jangan manjakan diri. Hubungan dengan Allah perlu dijaga dan yakinlah, Allah itu sentiasa ada bersama kita. Yakinlah dengan kuasa Allah, kesembuhan itu sentiasa ada.
*Dikongsikan oleh Ustaz Sharhan Shafie, salah seorang pengamal perubatan Islam.
No comments:
Post a Comment