Salam w.b.t.
Alhamdulillah sekali lagi Allah memberi peluang kepada kita untuk bertemu dengan salah satu peristiwa besar dalam kalendar Islam, iaitu peristiwa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun di sana wujud beberapa perselisihan pendapat mengenai tarikh sebenar kelahiran Baginda, kita sebagai umat Islam harus bersatu dan berusaha memahami kenapa Nabi diutuskan ke dunia ini.
Kita sebagai umat akhir zaman harus sedar, perjuangan Nabi tidak hanya terhenti pada zaman dahulu sebaliknya umat hari ini perlu berusaha menghayati dan mengamalkan ajaran Islam serta menyebarkannya kepada orang lain.
Jadi, mari kita cuba kenal dan kaji bagaimanakah peribadi yang hebat ini dari segi jasad dan ruhnya (jasadan wa ruhiyyan). Apabila kita sudah kenal, maka barulah kita boleh terbitkan rasa cinta kepada Baginda sebagaimana cinta dan setianya para sahabat kepada Nabi. Hendak cinta dan kasih kepada manusia agung yang tidak pernah ditemui ini memerlukan kesungguhan dan keinginan yang tinggi, seolah-olah ingin berjumpa dengan Baginda secara berhadapan. Andai perasaan itu sudah ada, alangkah indahnya hidup ini, alangkah amannya dunia ini dengan perasaan kasih sayang.
Khatimul Anbiyaa'. (Sumber)
Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. itu diciptakan dengan sebaik-baik penciptaan. Tiada manusia lain yang diciptakan Allah seindah penciptaan Nabi s.a.w. Alangkah hebatnya susuk tubuh yang mulia ini.
Secara zahirnya, mata Nabi kita besar dan luas sesuai dengan wajahnya. Matanya bercelak secara tabi'i. Terciptanya Nabi itu wangi, menyenangkan sesiapa sahaja yang berdamping dengan Baginda.
Mata hitamnya memang hitam. Manakala mata putih tidak putih macam kertas, ada sedikit bercampur dengan kemerahan. Gigi Baginda pula jarang di hadapan.
Secara jasadnya, apabila orang melihat Nabi mereka akan merasa takjub dan kagum. Ia suatu perasaan yang susah untuk ditafsirkan. Melihat Baginda berjalan sahaja sudah mengundang rasa kagum yang teramat. Subhanallah.
Ketika berjalan, kaki hadapannya memijak tanah dengan kemas seolah-olah sedang menuruni bukit. Kaki belakangnya pula diangkat kemas. Nabi berjalan cukup kemas dan pada masa yang sama, laju sepertinya bumi dilipat untuk Nabi.
Memang fitrahnya Nabi berjalan cepat, sampaikan para sahabat yang sedang berjalan bersama Baginda terpaksa berjalan seperti berlari-lari anak. Nabi juga akan menyuruh sahabat berjalan di hadapan Baginda.
Itulah sedikit sebanyak perkara mengenai Nabi kita secara jasad.
Hebat kan jasad Baginda. Sebab apa hebat jasadnya? Jasad yang hebat itu, kerana rohnya yang juga hebat. Roh dan jasad saling berkait antara satu sama lain. Kuat roh, kuatlah jasadnya.
Ketika Nabi berbicara, ia sangat menarik perhatian. Semua orang akan menumpukan perhatian kepada percakapan Nabi. Semuanya mendengar dengan teliti bait-bait percakapan Baginda.
Ketika Nabi melihat sesuatu yang takjub, Baginda akan membalik-balikkan tangannya.
Perumpamaan ketika Nabi berkhutbah dan berbicara, seolah-olah Baginda sedang mengetuai bala tentera di medan perang. Cukup bersemangat dan bersungguh. Tinggi suaranya ketika berbicara dengan penuh semangat.
Diriwayatkan dari Jabir ibni Abdillah :
Nabi Muhammad s.a.w. apabila berkhutbah, merah kedua matanya.
Kalau bercakap tentang hari kiamat, Nabi akan bersemangat sekali untuk mengingatkan bahawa akhirat itulah yang kekal abadi.
Tidak terbanding rasanya kita dengan peribadi yang bernama Muhammad bin Abdullah ini. Jauh. Sangat jauh.
Sebab itulah sangat wajar kita menjadikan Baginda sebagai contoh ikutan. Segala sunnah Baginda kita amalkan dalam kehidupan. Itulah bukti cinta kita kepada Baginda walaupun sudah lama Nabi tinggalkan kita.
Salah satu cara yang paling mudah tanda kita ingat kepada Nabi, adalah dengan sentiasa berselawat kepada Baginda. Mudah bukan?
Kata hendakkan syafaat Nabi. Jadi kenalah banyak-banyak ingat kepada Baginda supaya Nabi sentiasa hidup dalam diri kita.
Saya menasihati kita semua lebih-lebih lagi saya sendiri, marilah kita pakat-pakat banyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. mulai hari ini sehingga hari kita menghembuskan nafas yang terakhir.
'Allahumma Sholli 'alaa Muhammad, Wa 'alaa Aalihii wa Shohbihii Wasallaam...'
*Petikan kuliah Ustaz Zainul Asri Haji Ramli,
Kuliah Hadis
Masjid Al-Bukhari, Pantai Johor...
No comments:
Post a Comment