Salam w.b.t.
Baru mendapat mesej sebentar tadi berkenaan waktu imsak dan waktu berbuka puasa dari seorang penduduk tempatan. Berasa teruja juga hendak mengetahui bilakah bermulanya Ramadan di sini.
InsyaAllah 1 Ramadan di Karad kemungkinan besar bermula Sabtu ini, 21 Julai 2012. Ini menandakan permulaan solat terawih pada malam ini (Jumaat malam). Apa-apa pun, ia akan dipastikan kesahihannya pada malam ini. Sekiranya anak bulan kelihatan, maka esok (Sabtu) bermulanya puasa 1 Ramadan. Jikalau anak bulan agak 'malu' untuk memunculkan dirinya, perlulah dilengkapkan 30 hari Sya'ban. Ia berdasarkan kaedah rukyah dan hisab.
Sekiranya 1 Ramadan bermula pada hari Sabtu, maka ia menyamai permulaan Ramadan di tanahairku Malaysia. Jadi tarikh sambutan hari raya Aidilfitri jatuh pada tarikh yang sama untuk 2 negara ini.
Menyebut mengenai kedatangan Ramadan, rasanya seolah-olah baharu semalam saya menyambut Ramadan 1432 Hijrah. Seakan-akannya kenangan bersolat terawih pada tahun lepas masih segar di ingatan. Bagaimana kami berbuka puasa bersama-sama di bilik, bagaimana kami iftar bersama-sama penduduk tempatan di masjid. Pantasnya masa berlalu. Allah Maha Kaya...
Rasa bersyukur kerana Allah s.w.t. masih memberi izin kepada hambaNya untuk terus bernafas pada bulan yang penuh keberkatan ini. Walaupun seringkali diri ini lalai dari mengingatiNya, semoga kedatangan bulan di mana Al-Quran diturunkan ini menjadi titik tolak untuk melakukan peningkatan ibadah dalam usaha menjadi hamba yang diredhaiNya.
Jadi, di ambang kedatangan bulan puasa ini, mari kita perbaharui azam Ramadan kali ini supaya ia menjadi Ramadan yang paling baik dalam sejarah hidup kita. Memang kelihatannya susah, tetapi sekiranya ia dilakukan secara berterusan dengan sabar, insyaAllah ia akan menjadi darah daging kita, seperti yang disampaikan oleh Ustaz Zainul Asri.
Antara petikan kata-kata dari video di atas yang menarik :
"Kerja rumah nie berat..tapi kita kena buat sebab kita dah takdak masa.."
"Bagi kerja kat anak murid tua..takpa no..redha la..."
"Nie tok guru baik..tak marah..."
"SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN AL-MUBARAK..."
"RAMZAN EID MUBARAK..."
No comments:
Post a Comment