Saturday, July 28, 2012

Di Kala Ambang Ramadan




Salam w.b.t.

Segala Puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam. Dengan rahmat dan limpah kurniaNya, kita masih diberikan peluang untuk terus menikmati keindahan dan ketenangan Ramadan yang sedang dilalui. Mudah-mudahan kita sentiasa mempunyai kelapangan masa untuk terus menambah amal pada bulan yang diberkati ini.

Detik kedatangan Ramadan merupakan masa yang sangat ditunggu-tunggu oleh umat Islam kerana pada keesokan harinya, ibadah puasa bakal bermula. Menyambut kedatangan bulan Islam ke-9 dalam kalendar Islam ini, suatu pengalaman yang manis bagi sesetengah orang.

Seminggu berpuasa dirasakan begitu cepat berlalu. Rasanya macam baru semalam sahaja memasuki gerbang Ramadan. Sedang bermimpikah aku? Tidak. Ini betul-betul bukan cobaan...

7 Hari Lalu
Terkenang kembali keberadaan di masjid pada Jumaat malam yang lalu untuk menyambut 1 Ramadan yang dinantikan dengan penuh pengharapan dan rasa syukur. Suasana maghribnya sungguh tenang dengan kehadiran jemaah yang turut ingin mengetahui tarikh permulaan puasa. Damai sungguh malam itu. Ia seperti menantikan tarikh pengumuman keputusan SPM, berdebar-debar, dan penuh keterujaan.

Usai solat maghrib, saya bertanyakan beberapa orang penduduk tempatan hari bermulanya puasa. Esok (Sabtu) atau Ahad. Mereka mengatakan penentuan puasa akan diumumkan selepas solat Isyak, setelah dilakukan usaha mencerap anak bulan terlebih dahulu di beberapa tempat. Semuanya menantikan dengan penuh sabar. Segala kemungkinan boleh berlaku. Kalau ia bermula pada Sabtu, maka ia menyamai permulaan puasa di Malaysia juga.

Selesai Isyak, seorang jemaah mengumumkan kepada hadirin bahawa puasa akan bermula pada hari Ahad (lusa). Semuanya kelihatan berpuas hati kerana teka-teki sudah pun terjawab. Saya kira, mungkin Tuhan ingin memberi peluang lagi kepada sesiapa sahaja untuk melakukan 'persediaan' terakhir pada esok hari sebelum menempuh madrasah Ramadan, medan tempur yang sebenar.

"Yes, ada chance lagi..."

Tiba-Tiba
Keheningan suasana malam di bilik dikejutkan dengan bunyi deringan telefon bimbit sahabat saya yang mengundang persoalan. Siapa pula yang telefon malam-malam ini? Sahabat itu berbual-bual dengan pemanggil sambil mengangguk-anggukkan kepala tanda faham mesej yang disampaikan.

"Mal, esok (Sabtu) puasa la..." kata sahabat itu.

"Owh..ok..kena bagitau yang lain-lain la.."

Sebelumnya, semua sudah mendapat mesej bahawa puasa akan bermula pada hari Ahad. Memandangkan info terbaru mengatakan puasa bermula awal, semua orang harus diberitahu mengenai berita tersebut. Sahabat itu terus menghubungi sahabat-sahabat yang lain dan memaklumkan pengumuman terbaru itu. Kecoh juga jadinya. Nasib baik mereka masih belum tidur, dan ada lagi masa untuk bersahur.

Sebabnya
Menurut salah seorang penduduk tempatan, mereka duduk berbincang semula di masjid selepas Isyak bagi penentuan permulaan puasa. Kira-kira pukul 11 malam, barulah mereka bersepakat untuk memutuskan keesokan harinya sebagai hari pertama puasa di sini. Solat terawih terus dilakukan selepas itu dan beakhir kira-kira 1 pagi.

Keputusan untuk memulakan puasa pada hari Sabtu dilakukan setelah Mangalore, salah sebuah tempat di India mengatakan mereka melihat anak bulan, menurut kata Dr. Kazi, oncologist tempatan. Maka bermusyawarah dan mengambil kata sepakat. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Bersyukur dengan apa yang telah diaturkanNya
Walaupun keputusan yang diambil agak mengejut, ia tidak melunturkan semangat penduduk Muslimnya untuk melakukan salah satu ibadah rukun Islam ini. Tambahan pula, sekarang ini musim hujan di Karad dan sedikit sebanyak memudahkan perjalanan ibadah ini. Allah Maha Kaya.

Itu sahaja coretan kenangan manis menyambut kedatangan Ramadan pada tahun 1433 Hijrah ini. Seronok rasanya dapat menghayati kehidupan di bulan yang penuh barakah ini. Akhir kalam, semoga Ramadan kali ini dimanfaatkan dengan sebaik yang mungkin. Jangan kita sia-siakan peluang yang terhidang ini. Lihat balik 7 hari yang sudah berlalu dan bermuhasabah. Kalau masih kurang berkualiti, masih ada masa untuk melakukan sesuatu. Ayuh manfaatkan masa-masa pada Ramadan ini!

No comments:

Post a Comment

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...