Sunday, July 8, 2012

Saya Tak Akan Membenci Mereka


Salam w.b.t.

Firman Allah S.W.T. dalam Al-Quran :

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..."
(Surah Ar-Ra'd : ayat 11)

Ayat di atas merupakan ayat yang menjadi modal kepada Irshad Manji, seorang penulis kontroversi yang selalu diulang dalam bukunya yang diharamkan penerbitannya di Malaysia iaitu Allah, Kebebasan dan Cinta. Pada mulanya saya agak berminat untuk menghabiskan pembacaan buku tersebut untuk melihat sejauh mana daya pemikiran dan hujahnya yang mengatakan umat Islam harus berubah kerana masalah Islam pada peringkat global adalah pada masyarakat Muslim itu sendiri berasaskan ayat di atas.

Irshad Manji cuba mengetengahkan idea supaya umat Islam melakukan perubahan dengan kebebasan berfikir supaya masyarakat mendapat menfaat dan boleh maju ke hadapan. Antara isu yang dibincangkan adalah soal perkahwinan antara berlainan agama (interfaith marriage) yang menurut beliau dibolehkan setelah mendapat restu salah seorang ulama rujukannya.

Malangnya, saya semakin keberatan untuk menghabiskan pembacaan karyanya itu yang saya anggap agak membuang masa sebenarnya. Kalau ada kelapangan masa, saya akan cuba habiskan juga.

Pengganti
Sebenarnya, ada satu lagi karya yang sangat menarik minat saya untuk membaca dan menghabiskannya secepat mungkin berbanding karya Irshad Manji yang satu itu.

Buku yang saya maksudkan bertajuk : 

"I Shall Not Hate : A Gaza Doctor's Journey on the Road to Peace and Human Dignity."

First published in Great Britain 2011
Paperback edition published 2012

Kemiskinan Bukan Penghalang
Bagi mereka yang ingin mengetahui bagaimana kehidupan di Palestin, buku ini sesuatu yang wajib dimiliki. Ia merupakan catatan kehidupan seorang doktor pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Izzeldin Abuelaish yang dilahirkan di Gaza. Beliau merupakan salah seorang pelarian Gaza di Kem Jabalia yang kurang bernasib baik semasa zaman kecilnya.

Beliau hidup dalam keadaan yang serba kekurangan semasa kecil di mana beliau sanggup melakukan apa jua pekerjaan demi mendapatkan wang untuk membantu keluarganya. Memandangkan beliau anak sulung dalam keluarga, segala harapan disandarkan kepadanya oleh ibu dan ayahnya.

Berkat sokongan dan harapan oleh guru-gurunya yang ingin melihat beliau berjaya, beliau menguatkan semangat untuk meneruskan pembelajaran dan mengubah nasib keluarganya kepada keadaan yang lebih baik dan secara tidak langsung membuktikan bahawa anak Palestin juga boleh berjaya walau hidup serba kekurangan.

Membaca kisah hidupnya semasa kecil, saya berasa kagum dengan semangatnya yang tidak pernah luntur untuk terus maju ke hadapan walaupun kadang-kadang, beliau dalam dilema sama ada hendak meneruskan persekolahan atau ponteng kelas dan terus bekerja. Sungguh kuat dan tabah diri beliau.

Terus Menempa Kejayaan
Setelah menunjukkan prestasi yang bagus di sekolah, akhirnya beliau berpeluang melanjutkan pelajaran ke Mesir dalam bidang perubatan. Pada ketika itu, jumlah kuota kepada pelajar Palestin tidak banyak, sekitar 20 orang sahaja merangkumi pebagai bidang.

Selesai menamatkan pengajian di sana, atas minatnya yang mendalam terhadap bidang sakit puan, beliau menyambung pengajian peringkat Diploma di London dalam bidang pengkhususan O&G (Obstetric & Gynaecology).

Doktor Palestin Yang Bekerja di Israel
Beliau merupakan doktor Palestin pertama yang berjaya mendapatkan tempat untuk bekerja di Israel. Kenapa Dr. Izzeldin sanggup bersusah payah mengambil risiko untuk bekerja di negara yang rakyatnya dikatakan tidak berperikemanusiaan itu. Jawapannya, beliau percaya dan optimis, rakyat Palestin dan rakyat Israel boleh bekerjasama dan hidup secara harmoni dan penuh rasa kepercayaan antara satu sama lain.

Maka, beliau sanggup berkorban masa dan tenaga, sekalipun banyak dugaan yang dilalui semasa hendak menyeberangi sempadan Gaza-Israel. Hendak tahu apa dugaannya, kena dapatkan buku ini kerana beliau ada menceritakannya secara terperinci dan menginsafkan sesiapa yang membacanya.

Dugaan Hidup
Ujian demi ujian menimpa Dr. Izzeldin apabila beliau kehilangan 3 orang anak perempuannya dan seorang anak saudaranya apabila kereta kebal Israel membedil rumahnya pada 16 Januari 2009. Tarikh yang mungkin tidak akan dilupakannya sepanjang hayatnya. Kira-kira 4 bulan sebelumnya, beliau kehilangan isterinya akibat leukemia akut.

Sedikit bingkisan ketika kejadian 16 Januari tersebut.



Anak-anaknya yang terkorban ialah Bessan, 21; Aya, 15; dan Mayar, 14. Manakala anak saudaranya pula bernama Noor, 17 tahun. Apabila saya melihat wajah Mayar, saya berasa sedih dan sayu kerana menurut Dr. Izzeldin, Mayar seorang yang cemerlang dalam matematik dan bercita-cita untuk mengikut jejak langkah ayahnya menjadi seorang doktor. Namun takdir Allah melebihi perancangan manusia yang lemah.

Mari Berlapang Dada
I Shall Not Hate, boleh saya kategorikan sebagai priceless item saya kerana Dr. Izzeldin tetap yakin dengan perdamaian yang antara Palestin dan Israel yang disifatkannya 2 kumpulan yang boleh menjalinkan hubungan persahabatan yang akrab. Menurutnya, "Musuh kita adalah sifat sombong kita sendiri. Palestin dan Israel bukanlah musuh antara satu sama lain."

Beliau sendiri sudah membuktikan kerjasama antara Palestin dan Israel tidak mustahil untuk direalisasikan apabila keberadaannya di Hospital Soroka disambut baik oleh doktor-doktor di Israel yang sentiasa memberikan tunjuk ajar dan melayannya seperti manusia yang lain, tidak fanatik kepada agama atau etnik tertentu.

Semoga kebebasan yang diinginkan oleh Palestin akan kunjung tiba suatu hari nanti. InsyaAllah....

p/s : maaf kalau post kali ini sangat panjang. huhu
p/ss : kalau Allah panjangkan umur, teringin hendak berjumpa dengan Dr. Izzeldin Abuelaish suatu hari nanti.

2 comments:

  1. wah hang beli mana buku tu? pdf/hard copy? bolehla pinjam. :)

    ReplyDelete
  2. Beli kat ebay..paperback edition punya..bole ja.. :-)

    ReplyDelete

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...