Salam w.b.t.
Akhirnya, kira-kira 3.35pm tadi tamatlah sudah practical exam terakhir saya iaitu Pediatrik. Setelah berjam-jam menunggu sebelum disoal-siasat oleh 2 orang examiner, saya dibebaskan keluar untuk menikmati erti kebebasan yang telah lama dinantikan itu...
Segala penantian berakhir jua setelah menghabiskan jawapan terakhir ketika membentangkan kes panjang (longcase) yang sangat mencabar. Sungguh tak disangka-sangka saya akan mendapat kes tersebut, di kala ramai yang sebolehnya tidak sanggup untuk menanggung risiko yang ada.
Sebelumnya, ketika mengundi untuk mengambil kes, saya telah mendapat kes rheumatic fever sebagai long case untuk diambil sejarah penyakitnya (history taking). Memandangkan pesakit seorang gadis belasan tahun, saya telah ditukarkan dengan seorang rakan oleh PG. Syukur. Namun kes yang baru itu suatu kes yang mencabar. CNS case.
Pesakit merupakan seorang lelaki yang berumur 14 tahun dan pernah menghadapi sawan ketika berumur 5 hari setelah dilahirkan. Sejarah kelahiran (birth history) menunjukkan kelahiran dilakukan di rumah, dan bukannya di hospital. Jadi ia berisiko untuk mendapat jangkitan, trauma ketika kelahiran sehingga menyebabkan berlakunya sawan ketika kecil, seterusnya menyebabkan berlakunya cerebral palsy dan mental retardation.
Sungguh, ia sesuatu yang mencabar apabila mendapat kes sistem saraf (CNS). Namun, mungkin ini suatu percaturan dari Allah supaya suatu hari nanti, jika saya berdepan dengan keadaan tersebut, ada sesuatu yang boleh dilakukan. Ada sesuatu yang Allah mahu saya belajar apabila mendapat kes tersebut.
Pertama sekali, saya bersyukur kerana dilahirkan sebagai insan yang cukup sifat dan sihat dari segi mental dan fizikal. Ramai antara kita yang walaupun sudah ada nikmat kesihatan, disia-siakan ke arah yang salah. Apabila melihat pesakit tersebut, saya tahu bahawa Allah mahu saya belajar rasa syukur kerana mampu berfikir dengan baik dan mampu berdikari. Sama juga seperti anda yang lain, yang boleh bersukan, memandu, berjalan, bertutur dengan baik tanpa masalah.
Mungkin itu pengajaran yang boleh diambil.
Keduanya, apabila mendapat kes pendek (short case) untuk memeriksa bayi yang baru lahir (neonate), saya terfikir betapa hidup seorang bayi itu, jauh daripada masalah. Sungguh tenang. Kenapa? Tengoklah pada tidurnya. Saya ketika hendak memeriksa reflek pada bayi itu pun, rasa semacam tak sanggup untuk 'mengganggunya'. Sungguh lena dan tenang dia tidur. Itulah dia kita suatu masa dahulu. Yang bayi itu, dan kita semua tahu sewaktu kita juga bayi, hanyalah menangis, tidur, makan, minum. Itu saja. No tension bak kata penduduk tempatan di sini.
Atas perancangan Allah juga, saya ditakdirkan mendapat kes yang terakhir. Maknanya setelah saya selesai membentangkan kes, berakhirlah sudah practical. Sayalah orang terakhir yang keluar dari wad. Suasana di wad petang itu sunyi. Pesakit-pesakit keluar untuk mengambil angin agaknya. Keluar saja dari wad, saya tengok jam di tangan. 3.37pm. Akhirnya, saya berjaya menghabiskannya walaupun sedikit selsema ketika menunggu giliran untuk disoal-siasat. Yang penting habis walaupun ada sesetengah soalan yang macam tergagap juga untuk menjawabnya. Waktu tu pun fikiran dah tak berapa stabil sebab glucose dalam badan dah kurang, sebab hanya berbekalkan sedikit roti pada waktu pagi. Tengaharinya tak berpeluang untuk menambah glucose dek menunggu giliran dalam wad.
Banyak yang saya dapat setelah mengambil final exam ini. Sungguh, jalan untuk menjadi seorang pengamal perubatan itu tidak mudah, dan sentiasa penuh dengan cabaran. Adakalanya, kita tahu jawapan kepada soalan yang ditanya kepada sahabat kita ketika dia tidak boleh menjawabnya, dan kita mengharapkan examiner bertanyakan soalan itu. Namun, apabila tiba giliran kita, lain pula yang ditanya.
Apabila orang tanya, dah tahun berapa, nak? "Dah tahun akhir." Dengan mudahnya jawapan diberi. Tetapi, menjadi seorang pelajar tahun akhir, tanggunggjawab yang dipikul sangat-sangat berat. A very huge task and responsibility. Ia tidak semudah lafaz "dah final year". Sebab ia memerlukan usaha dan kerja keras yang berterusan. Tiada alasan untuk bermalas-malasan.
Rasanya setakat itu dulu perkongsian untuk kali ini. Harap maaf kalau terlebih panjang, dan tak faham sangat dengan term-term yang saya gunakan. Rasa kekok juga ketika menerangkannya dalam bahasa melayu. Semoga kita semua belajar dan mengambil pengajaran dalam menelusuri kehidupan ini.
Wallahua'laam...
PG - Postgraduate
CNS - central nervous system
neonate/newborn - bayi yang baru lahir, sehingga berumur 28 hari.
cerebral palsy - kecacatan/lumpuh pada otak